fb fb fb fb fb

Pemantauan berkala, elak kejadian tanah mendap

Profesor Dr. Edy Tonnizam Mohamad

KUALA LUMPUR, 28 Ogos- Pemantaun secara berkala antara langkah yang perlu diambil bagi memastikan kejadian tanah mendap dapat dikenal pasti seawal mungkin.

Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Dr. Edy Tonnizam Mohamad berkata, cadangan itu antara langkah yang boleh dilakukan terutama melibatkan kawasan-kawasan berdekatan dengan sumber air kerana dikhuatiri mempunyai aliran air bawah tanah.

"...dan kesan pemendapan ini kadang kala boleh dilihat berikutan berlakunya sedikit mendapan di kawasan tersebut. Jadi sekiranya ia berlaku, kita boleh melakukan langkah tertentu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku dengan membuat kajian dengan lebih terperinci.

"...sekiranya ada ruang ataupun lohong di dalamnya, maka kita boleh mengambil langkah-langkah bagi pembinaan yang lebih selamat. Jadi ini adalah antara perkara utama yang boleh dilakukan," katanya.

Beliau yang juga Felo Utama Pusat Geokejuruteraan Tropika (GEOTROPIK) UTM berkata demikian ketika dihubungi RTM.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan pembangunan di sesuatu kawasan juga dilihat sebagai faktor yang menyumbang kepada kejadian lubang benam.

Namun perkara itu boleh dikekang menerusi kaedah pembangunan di kawasan yang dikenal pasti dan didapati mempunyai risiko terbabit.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI