fb fb fb fb fb

Pemansuhan penjarakan fizikal untuk solat jemaah selaras Fasa ‘Peralihan ke Endemik’

KUALA LUMPUR, 9 Mac - Pemansuhan penjarakan fizikal untuk solat jemaah selaras Fasa ‘Peralihan ke Endemik’ akan terus memakmurkan institusi masjid dan surau dengan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan

Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu adalah sesuatu yang amat dinantikan oleh umat Islam.

Beliau menerusi satu kenyataan memaklumkan, pengumuman ini dibuat berasaskan fakta dan data setelah mengambil kira pelbagai faktor termasuk penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pandangan yang dikemukakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

(Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad)

"Walau bagaimanapun, pelaksanaan ibadah tanpa penjarakan fizikal dan juga prosedur operasi standard (SOP) akhir untuk masjid dan surau adalah tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri-negeri.

"Pengumuman ini juga merupakan hadiah buat umat Islam untuk menyambut bulan Ramadan", katanya. 

Beliau berkata Fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April adalah terjemahan kepada kejayaan usaha-usaha kerajaan bagi menangani krisis kesihatan COVID-19, selain kerjasama erat daripada Keluarga Malaysia.

Sementara itu, Datuk Idris turut menyeru kepada umat Islam untuk terus berdoa serta mengadakan solat hajat agar rakyat dan negara terus dipelihara daripada sebarang kemudaratan dan bencana.

Media Baharu