fb fb fb fb fb

Pemangku Sultan Johor tunai solat Aidiladha di Pasir Pelangi

Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim/Foto RTM

JOHOR BAHRU, 17 Jun-Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim berkenan berangkat menunaikan Solat Sunat Aidiladha di Masjid Jamek Pasir Pelangi, di sini pagi tadi, bersama lebih 1,000 jemaah.

Tunku Mahkota Ismail ditemani adindanya, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Hassanal Jeffri, dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Mahmood Iskandar.

Turut hadir menunaikan solat, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid, dan Exco Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Solat Sunat Aidiladha dipimpin Imam Daerah Johor Bahru, Imam Nazri Ali.

Setelah selesai solat, Tunku Mahkota Ismail bersama para Jemaah mendengar khutbah disampaikan Imam Nazri Ali, sebelum bersalaman dengan para jemaah, dan berangkat pulang.

Sementara di Negeri Sembilan,Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan berangkat ke Masjid Diraja Seri Menanti bagi menunaikan solat sunat Aidiladha.

Baginda tiba kira-kira pukul 8.30 pagi sebelum menyertai lebih 1,000 jemaah yang hadir.

Turut berangkat sama, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, diiringi kedua-dua anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin serta Tunku Zain Al'abidin.

Keberangkatan baginda tuanku disambut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun serta isteri, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD