KANGAR, 22 Mei- Pemahaman dan penguasaan terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI) dan robotik adalah satu keperluan yang tidak dapat diabaikan dalam dunia yang semakin canggih dan moden.
Inovasi ini telah merevolusikan pelbagai bidang kehidupan dari perubatan hingga kepada industri dan pengangkutan.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pasaran kerja kini sudah jauh berbeza di mana kebolehan dan pengetahuan dalam penggunaan teknologi dititik beratkan.
“Pasaran kerja tidak lagi tertumpu kepada bidang-bidang tugasan yang memerlukan dokumentasi menggunakan helaian kertas dan pena sahaja, namun turut mengambil kira kebolehan dan pengetahuan dalam penggunaan teknologi.
"Penubuhan Kelab AI Robotic Education (AiRED) ini adalah satu langkah proaktif yang diambil oleh Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) untuk memastikan para pelajar di Perlis tidak ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi.
"Melalui kelab ini, pelajar akan didedahkan dengan asas-asas AI dan robotik serta diberi peluang untuk menjalankan projek-projek inovatif yang dapat mengasah kreativiti dan kemahiran teknikal mereka", titah Baginda ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Kelab AI Robotic Education (AiRED) di Hotel Putra Regency Kangar.
Penubuhan AiRED adalah melalui kerjasama FCoEE, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada sekolah untuk bersedia dengan pengetahuan dan kemahiran asas untuk menghadapi dunia era AI.
UniMAP melalui IDERIA Sdn Bhd telah melatih 32 orang guru daripada 15 buah sekolah menengah dan 7 buah sekolah rendah seluruh Perlis dimana guru-guru ini akan menjadi tenaga pengajar yang akan melaksanakan modul pembelajaran bersama-sama 160 orang murid Tingkatan 2 daripada 8 buah sekolah menengah terpilih di Perlis.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang diiringi Pengerusi Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE), Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin.