PUTRAJAYA, 23 Februari- Malaysia belum bercadang untuk melaksanakan cukai penggunaan bahan api penerbangan mampan (SAF) buat masa ini seperti yang dilakukan Singapura.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata meski penggunaan SAF digalakkan, namun pelaksanaanya boleh memberi kesan kepada harga tiket penerbangan.
"Jadi kami mengambil tindakan mengimbangi sambil memahami beban dihadapi syarikat penerbangan untuk mengurangkan pelepasan karbon tetapi pada masa sama, kami juga tidak mahu membebankan penumpang," katanya kepada pemberita di sini.
Inisiatif itu adalah sebahagian daripada pelan tindakan hab penerbangan mampan Singapura yang dibangunkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS).
Menurut Anthony, syarikat penerbangan masih belum memulakan langkah terbabit kerana akan ada beberapa pindaan tertentu perlu dibuat di bawah Peraturan-Peraturan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Kod Tatakelakuan) 2018 oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).
Dalam pada itu, Anthony berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mencatatkan penambahan kutipan hasil dari RM4.90 bilion pada 2022 ke RM5.07 bilion pada 2023.
Katanya, ia menyaksikan pertumbuhan sebanyak 3.53 peratus.
"Dalam kategori bayaran tender nombor perdaftaran, kutipan hasil meningkat daripada RM501.5 juta pada 2022 hingga RM569.6 juta pada 2023, di mana pertumbuhan sebanyak RM68.1 juta ataupun 13.6 peratus. Peningkatan hasil ini termasuk siri bidaan nombor pendaftaran FF, M_M yang dilancarkan pada Mei 2023 dan Ogos 2023 masing-masing," katanya.
Tambah beliau, untuk siri nombor perdaftaran kenderaan GOLD yang dilancarkan baru-baru ini, JPJ merekodkan lebih RM17.24 juta hasil kutipan.
Anthony turut menyatakan, 50 peratus daripada hasil nombor pendaftaran itu akan disalurkan kepada inisiatif-inisiatif di bawah kementerian bagi tahun 2024.
Sementara itu, Anthony berkata 35,000 pemandu teksi dan 18,000 pemandu bas sekolah bakal menikmati caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bermula bulan hadapan.
Ia akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
"Jadi untuk sektor golongan pemandu teksi kita akan buat caruman tambahan 10 peratus itu, maksudnya 90 peratus daripada Kementerian Kewangan melalui PERKESO dan 10 peratus akan ditanggung oleh Kementerian Pengangkutan. Maksudnya pemandu-pemandu teksi dan juga pemandu-pemandu bas sekolah ini, mereka tak perlu mencarum satu sen pun untuk setahun. Mereka hanya perlu mendaftar nama mereka dan kalau mereka yang sudah mendaftar, kita akan memberi mereka slip pencaruman mereka," katanya.