fb fb fb fb fb

Pemandu rentung, dua penumpang cedera dalam kemalangan bas di Gurun

Kemalangan melibatkan bas ekspres dan sebuah lori treler di Kilometer 75.2 Lebuhraya Utara Selatan dekat Gurun Kedah / Foto Ihsan JBPM

GURUN, 17 Mac - Seorang pemandu bas ekspres rentung manakala dua penumpang cedera selepas bas yang dinaiki terlibat dalam kemalangan sebelum terbakar.

Kejadian berlaku di Kilometer 75.2 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara dekat Gurun, Kedah, kira-kira pukul 4 pagi, pada Ahad.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Fauzi Razali berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.02 minit pagi dan jentera tiba di lokasi 17 minit kemudian.

"Sebaik tiba di lokasi, didapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah bas ekspres dan sebuah lori treler. Kemalangan menyebabkan bas ekspres berkenaan terbakar," katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, pemandu bas ekspres berusia 42 tahun rentung selepas tersepit dibahagian tempat duduk pemandu.

Manakala enam mangsa lain terdiri daripada seorang pembantu pemandu bas, empat penumpang bas dan seorang pemandu lori treler terselamat.

"Mangsa yang terselamat adalah seorang lelaki India berusia 50 tahun, seorang lelaki Melayu berusia 19 tahun dan seorang lelaki Cina berusia 57 tahun serta pemandu lori treler berusia 32 tahun.

"Manakala seorang lelaki Cina berusia 30 tahun dan seorang perempuan Cina berusia 29 tahun cedera ringan," katanya.

Operasi melibatkan 18 anggota dan pegawai dari BBP Guar Chempedak, BBP Amanjaya dan BBP Pendang.

Api berjaya dipadamkan kira-kira pukul 4.37 pagi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN