fb fb fb fb fb

Pemandu, penunggang p-hailing boleh nikmati pakej internet serendah RM33

Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 23 Januari- Pemandu dan penunggang p-hailing boleh menikmati pakej perkhidmatan Internet pada harga serendah RM33, dengan pelan data sekurang-kurangnya 40GB bermula hari ini sehingga 23 April depan.

Pakej tersebut hasil kerjasama strategik antara syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM (Unifi Mobile) dan YTL Communications (Yes 5G).

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, kerjasama itu turut melibatkan 16 penyedia platform p-hailing bagi menghargai jasa golongan pemandu dan penunggang p-hailing di negara ini, antaranya FoodPanda, Grab, Bungkusit, Shopee dan Lalamove.

Pakej P-Hailing Rahmah disediakan bagi kategori golongan sasar, melibatkan kira-kira 200,000 penunggang.

"Sebagai permulaan kita akan buka selama sebulan untuk lihat prestasi langganan dan selepas itu mungkin beberapa minggu kita akan dapat kemaskini menjelang selepas Tahun Baharu Cina.

"Selepas itu sekiranya perlu, kita akan cadangkan supaya dilanjutkan. Saya harap, syarikat-syarikat p-hailing akan berusaha dengan gigih untuk menyampaikan maklumat ini kepada semua pemandu. Ia bagi pemandu dan penunggang tahu ada pakej-pakej bersifat RAHMAH, dalam mereka menjalankan tugas," katanya selepas melancarkan pakej p-hailing Rahmah di Angkasapuri Kota Media di ibu negara.

Pakej khas telekomunikasi dengan diskaun istimewa bagi pekerja p-hailing itu adalah hasil perbincangan bersama-sama ketua pegawai eksekutif semua syarikat telekomunikasi di negara ini.

Pakej tersebut bertujuan meningkatkan keterhubungan digital penunggang p-hailing dan membolehkan mereka mengakses maklumat yang diperlukan semasa melaksanakan tugas.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI