
KUALA KRAI, 3 Februari -Seorang pemandu lori cedera selepas kenderaan dipandunya terbabas dan terbalik dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Kuala Krai – Gua Musang, Kelantan, pagi tadi.
- Lori treler terbabas dan terbalik di bahu jalan Jalan Kuala Krai–Gua Musang.
- Pemandu dipercayai tertidur akibat mengantuk menyebabkan kemalangan.
- Pemandu cedera ringan, dirawat oleh EMRS dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penguasa Bomba Kanan Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 7.30 pagi.
Beliau berkata, sebuah jentera dari BBP Kuala Krai bersama tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Kemalangan melibatkan sebuah lori treler yang terbabas lalu terbalik di bahu jalan. Pemandu dipercayai tertidur kerana mengantuk.
“Lori terbabit dalam perjalanan dari Kuala Lumpur membawa barangan kering ke sebuah pasaraya di Kota Bharu,” katanya menerusi satu kenyataan.
Muhammad Aiman Iskandar, 25 tahun mengalami kecederaan ringan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai untuk rawatan lanjut.