fb fb fb fb fb

Pemandu bas diwajibkan buat saringan air kencing

Michael Kong Feng Nian pada Program Advokasi Keselamatan Jalanraya yang diadakan di Terminal Bas Sibu

SIBU 24 Mei- Setiap pemandu bas di Sarawak diwajibkan menjalani ujian saringan air kencing bagi memastikan mereka bebas dari pengaruh dadah sepanjang bertugas semasa musim Perayaan Gawai Dayak tahun ini.

Menurut Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, Michael Kong Feng Nian, saringan itu merupakan sebahagian daripada Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya sempena Gawai Dayak yang diadakan bersama oleh Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Antidadah Kebangsaan AADK, dan Polis Diraja Malaysia PDRM.

Tegasnya, setiap pemandu wajib disaring sebelum mereka diberikan permit atau mandat untuk memandu bas ke lokasi masing-masing.

Katanya, saringan itu amat penting memandangkan semasa kempen sama pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri lepas, pihak AADK berjaya mengesan dua orang pemandu bas iaitu seorang di Kuching dan seorang di Miri yang didapati positif dadah.

“Selepas mereka disaringkan positif untuk dadah, kes ini akan diserahkan kepada seorang pegawia penyiasat yang akan bekerjasama dengan Timbalan Pendakwaraya (DPP) untuk lihat samaada akan didakwa di mahkamah atau tidak.”

“Dari sana mereka akan melakukan satu lagi ujian terperinci kerana ujian yang dilakukan di sini hanya ujian air kencing sahaja" katanya.

Selain itu, pihak JPJ juga akan menjalankan pemeriksaan fungsi keselamatan bas seperti brek, keadaan tayar dan keadaan lampu setiap bas

“Jika sesebuah bas itu tidak lulus pemeriksaan, bas itu tidak akan diberikan pas untuk keluar dari kawasan terminal bas. “

Beliau ditemui media ketika menghadiri Program Advokasi Keselamatan Jalanraya yang diadakan di Terminal Bas Sibu malam tadi.

Turut hadir ke program itu adalah Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau, Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling dan mantan ADUN Pelawan, Irene Chang,

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE