GEORGE TOWN, 14 Januari- Polis mengesahkan penemuan sepucuk pistol beserta peluru hidup di Pantai Robina, Butterworth pagi tadi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad dalam satu kenyataan berkata, senjata terbabit ditemukan oleh orang awam yang sedang memancing di perairan pantai berkenaan kira-kira pukul 4.30 pagi.
Polis turut menemukan 67 butir peluru hidup, empat kelopak peluru dan satu balutan plastik warna hitam mengandungi laser AVD10 LXGD berwarna hitam.
Kesemua barangan kes dirampas, bagaimanapun suspek masih belum dikenal pasti.
Kes disiasat bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penaliti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Tegas Hamzah, polis komited dalam melumpuhkan mana-mana kumpulan atau individu yang terlibat dalam aktiviti jenayah kekerasan yang boleh menjejaskan keselamatan dan keamanan negara.