fb fb fb fb fb

Pemakaian pelitup muka di masjid, surau Perlis tidak lagi diwajibkan

(Foto BERNAMA)

ARAU, 1 Ogos- Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa pemakaian pelitup muka di masjid dan surau di seluruh Perlis tidak lagi diwajibkan, berkuat kuasa serta merta.

Baginda bertitah, namun, pemakaian pelitup muka masih digalakkan bagi mereka yang bergejala dan mengalami risiko dijangkiti COVID-19.

"Arahan itu selaras dengan perkembangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkaitan pandemik COVID-19 yang semakin mereda tahun ini.

"Ia juga selari dengan penurunan kes dan kadar vaksinasi serta pengumuman kelonggaran SOP pemakaian pelitup muka yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkuat kuasa 5 Julai 2023," titah baginda menerusi kenyataan.

Menerusi kenyataan itu, baginda turut menyampaikan titah penghargaan daripada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid kepada seluruh rakyat kerana sentiasa memberikan kerjasama kepada Majlis Agama Dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta agensi-agensi bersamanya dalam membantu mengekang penularan wabak COVID-19 di negeri tersebut.


(Foto BERNAMA)

Media Baharu