fb fb fb fb fb

Pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka tidak lagi diwajibkan - Khairy

PUTRAJAYA, 27 April - Berkuat kuasa 1 Mei, pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka tidak diwajibkan tetapi adalah atas pilihan individu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bagaimanapun berkata pemakaian pelitup muka adalah wajib apabila berada di dalam bangunan dan pengangkutan awam termasuk e-Hailing.

"Kementerian Kesihatan menggalakkan agar pemakaian pelitup muka di luar bangunan terus diamalkan terutamanya apabila berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti bazar Ramadan, pasar malam dan stadium.

"Pemakaian pelitup muka terutamanya di dalam bangunan dan pengangkutan awam masih lagi penting untuk melindungi diri serta orang di sekeliling terutamanya mereka yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak dan individu immunocompromised.

"Pelitup muka boleh ditanggalkan semasa melakukan senaman berat di dalam bangunan tetapi hendaklah segera dipakai semula setelah selesai melakukan senaman tersebut," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

(Khairy pada sidang media di Putrajaya hari ini)

Beliau mengumumkan kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 di negara ini selaras dengan Fasa Peralihan Ke Endemik.

Dalam pada itu, Khairy berkata keperluan penjarakan fizikal di dalam SOP Majlis Keselamatan Negara terbitan 1 April 2022 juga telah disemak semula.

"Mengambil kira semua aktiviti telah dibenarkan dengan penggunaan 100% kapasiti ruang, maka penjarakan fizikal di antara individu atau kumpulan tidak diperlukan.

"Namun begitu, penjarakan fizikal digalakkan dalam keadaan tidak memakai pelitup muka," jelasnya lagi.

Media Baharu