fb fb fb fb fb

Jangan 'dera' rakyat, tepati jadual projek perumahan - PM

Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 28 Oktober- Semua pemaju perumahan mampu milik diingatkan supaya menyiapkan projek mengikut jadual dan memastikan mutu kerja yang tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, sebarang kelewatan atau karenah birokrasi yang timbul perlu diselesaikan dengan segera bagi mengelakkan kesulitan kepada rakyat.

"Melambatkan projek tiga atau enam bulan itu mendera rakyat yang menunggu dan meningkatkan kos. Pastikan pengawasan yang rapi serta kecepatan pelaksanaan projek.

"Jika ada masalah daripada segi birokrasi, selesaikan secepat mungkin. Saya ingin pecahkan tembok birokrasi yang mempersulitkan ini," katanya dalam majlis pelancaran pembangunan perumahan Residensi MADANI Putrajaya di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Dalam pada itu, Anwar menyeru agar semua syarikat memberi kerjasama dalam melaksanakan kadar gaji minimum baharu seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.

Beliau menjelaskan bahawa kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan mengambil kira kedudukan ekonomi serta kemasukan pelaburan yang positif.

"Kita bukan naik ke RM2,500 atau RM3,000; ini kenaikan daripada RM1,500 kepada RM1,700, dan kita laksanakannya secara berperingkat.

"Bagi syarikat kecil, kita akan berikan masa tambahan. Saya berharap semua dapat bekerjasama dalam usaha ini demi kepentingan bersama," katanya.

Perdana Menteri turut menyatakan bahawa keputusan itu merupakan satu tekad politik Kerajaan Perpaduan yang jelas meskipun tidak semua pihak akan bersetuju atau berasa selesa dengan langkah tersebut, namun ia adalah cabaran kepimpinan yang perlu dihadapi.

SITI AISHAH MD ISA