Pelupusan makanan catat penurunan ketara

Datuk Aiman Athirah Sabu

PUCHONG, 4 Mac – Peratus pelupusan makanan yang masih boleh dimakan mencatatkan penurunan ketara sebanyak 11.74 peratus tahun ini berbanding tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan kesedaran masyarakat menyebabkan penurunan sisa makanan boleh dimakan dan pembudayaan perbelanjaan lebih berhemah.
  • Komposisi sisa makanan menurun dari 44.5% (2024) kepada 40.97% (2025), dijangka 39.62% pada 2026.
  • Inisiatif SWCorp seperti Free Market Aidilfitri dan sudut beg guna semula menyokong pengurangan sisa dan amalan lestari.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, perkembangan itu mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat untuk menghargai makanan serta mengamalkan perbelanjaan lebih berhemah.

Menurut beliau, pada 2024 komposisi sisa makanan adalah 44.5 peratus daripada keseluruhan sisa yang dikutip.

Katanya, angka itu menurun kepada 40.97 peratus pada 2025 dan dijangka terus susut kepada 39.62 peratus pada 2026.

“Sepanjang 13 hari pelaksanaan kempen ini, kita juga melihat trend pengurangan pengutipan sisa makanan yang masih boleh dimakan,” katanya ketika berucap pada program libat urus Kempen Hargai Makanan, Elak Pembaziran sempena Ramadan 2026 di Puchong, Selangor.

Program anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) itu turut melaksanakan pelbagai inisiatif kesedaran awam, termasuk penganjuran Free Market Aidilfitri serta penyediaan sudut beg guna semula bagi menyokong agenda pengurangan sisa dan pembudayaan amalan lestari dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pelupusan sisa makanan meningkat 5.05 peratus sepanjang Ramadan tahun ini.

Peningkatan itu selari dengan pertambahan purata keseluruhan sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan, iaitu sebanyak 2.34 peratus bagi tempoh perbandingan sama.