Peluasan SARA bantu rakyat jimat dengan makanan sejuk beku

Makanan sejuk beku menjadi pilihan baharu penerima SARA

Peluasan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada makanan sejuk beku sejak 9 Februari lalu mengubah corak perbelanjaan penerima, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap produk berkenaan di beberapa premis runcit di Perlis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penerima jimat kerana makanan sejuk beku tahan lebih lama dan kurangkan pembaziran.
  • Peluasan SARA beri fleksibiliti belanja, bukan terhad kepada barang dapur sahaja.
  • Pedagang tambah stok dan tempahan pembekal meningkat susulan permintaan tinggi.

Tinjauan di Padang Besar dan Kangar mendapati kemudahan itu membantu keluarga berjimat kerana makanan sejuk beku yang tahan lebih lama mengurangkan risiko pembaziran serta memudahkan penyediaan hidangan harian.

Penerima SARA, Norazilya Shaari berkata, “Frozen food memang banyak digunakan. Bukan setiap hari, tetapi ia perlu untuk kegunaan masakan harian.”

Seorang lagi penerima, Hayanti Zainal menyifatkan peluasan skim itu memberi lebih fleksibiliti kepada pengguna.

Beliau berkata, “Lagi elok ada penambahbaikan sebab kita tak semestinya fokus pada barang dapur sahaja. Barang frozen pun ada kegunaan, antaranya nugget dan daging burger.”

Peningkatan pembelian turut diakui pengusaha premis yang menambah stok bagi memastikan bekalan mencukupi.

Pengurus Besar Pasaraya Peladang Beseri, Wan Norsuhaida Wan Hussin berkata, “Produk seperti nugget, daging burger dan sosej paling banyak dibeli. Kebanyakan peniaga kecil juga mengambil peluang menggunakan SARA untuk membeli barangan frozen.”

Pengurus Pasaraya Cmart Kangar Jaya Mall, Muhammad Adam Ikhwan Hussin berkata, “Tempahan dengan pembekal kini lebih kerap kerana permintaan meningkat berbanding sebelum makanan sejuk beku dimasukkan dalam SARA.”

Peluasan skim itu bukan sahaja menambah pilihan, malah memberi ruang kepada penerima merancang perbelanjaan dapur dengan lebih fleksibel.