KUALA TERENGGANU, 17 November- Hampir 60 syarikat di Terengganu sedia menjalin kerjasama dengan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) untuk mempromosi produk perniagaan masing-masing.
Situasi menang-menang yang ditawarkan bukan sahaja memberi peluang kepada pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) malah ia turut membantu memastikan sasaran tahunan pemasaran dan promosi stesen tercapai.
Rata-rata menyambut baik komitmen RTM, membantu dalam mempromosi produk pelanggan, menerusi pelbagai platform yang disediakan.
"Saya percaya RTM sebuah organisasi yang berpengalaman dalam industri penyiaran, mampu untuk memberikan yang terbaik kepada kami sebagai pelanggan.
Saya menyambut baik program yang diadakan ini dan sentiasa bersedia untuk berkolaborasi dengan RTM," kata Abdul Hadi Alias, Pengurus Besar Hotel Paya Bunga.
Saya berpuas hati dengan harga yang ditawarkan kepada kita. Untuk venue tahun 2024 ini, saya rasa sangat berbaloi berbanding syarikat-syarikat dan platform yang sedia ada," kata Sharadzi, Ketua Pegawai Eksekutif Bajamas Group Berhad.
Terdahulu, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman menyempurnakan Program "Meet and Greet" Terengganu FM di Kuala Terengganu.
Beliau berkata RTM sentiasa komited menambah baik dan mempelbagaikan bentuk promosi bagi merancakkan tempahan iklan di stesen penyiaran itu.