fb fb fb fb fb

Tolak individu terpalit rasuah, salah guna kuasa - Sultan Perak

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang juga Pengerusi MKI berkenan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-72 di ibu negara. /Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Ogos-Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menyeru umat Islam di negara ini supaya tidak memberikan amanah atau menyerahkan tanggungjawab kepada kepada mereka yang terpalit rasuah dan salah guna kuasa.

Titah baginda, tindakan itu bagi mengelak imej serta kesucian agama Islam tercemar.

"Kehebatan Islam hendaklah diserlahkan melalui budaya kerja, melalui kegiatan sosial, pencapaian ekonomi dan etika berpolitik. 

Masyarakat Islam hendaklah dengan segala daya dan kekuatan menolak sama sekali perlakuan yang boleh mencemarkan nama baik ummah serta kesucian Islam dengan tidak memberikan amanah atau menyerahkan tanggungjawab kepada kalangan yang berimej mungkar dan munafik, kalangan yang lemah moral dan rendah akhlaknya, kalangan yang terpalit dengan rasuah dan salah guna kuasa serta kalangan yang tidak amanah dan tidak ikhlas", titahnya demikian  ketika berkenan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-72 di ibu negara.

Baginda yang juga Pengerusi MKI bertitah kegemilangan Islam pada satu masa dahulu telah meninggalkan legasi dan idealisme tinggi, namun kemajuan sesuatu bangsa itu tidak boleh hanya bergantung kepada dua perkara berkenaan sahaja.

Sebaliknya, Baginda bertitah naratif masa hadapan untuk mengubah kualiti masyarakat Islam ke arah yang lebih progresif, hendaklah dirintis dengan menyuburkan semangat dan naratif realis dan futuris.

"Survival umat Islam perlu dibina menerusi kekuatan minda dan suntikan keyakinan untuk sentiasa bersaing dan berlumba sehingga ummah  mempunyai prasangka, prejudis apabila berada dalam kalangan bukan Islam", titah baginda.

Turut hadir ialah  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Timbalan Pengerusi MKI, Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Mohd Nai'im Mokhtar serta ahli - ahli MKI dari seluruh negara.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD