KUALA LUMPUR, 18 Oktober - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 bilion untuk kebajikan warga emas dalam pembentangan Belanjawan 2025 hari ini.
Menurut Anwar, peruntukan itu akan digunakan untuk membiayai bantuan tunai, wang saku bagi institusi warga emas, dan pusat aktiviti warga emas.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, mencadangkan pelepasan cukai pendapatan individu yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan dan sukan turut disemak semula untuk melindungi kebajikan warga emas.
Lima pelepasan cukai yang dicadangkan oleh kerajaan:
Pertama: Pelepasan cukai perbelanjaan pemeriksaan perubatan penuh ibu bapa diperluas untuk meliputi kos pemvaksinan.
Kedua: Pelepasan cukai perbelanjaan peralatan dan aktiviti sukan diperluas kepada ibu bapa;
Ketiga: Pelepasan cukai perbelanjaan rawatan perubatan bagi ibu bapa turut merangkumi datuk dan nenek;
Keempat: Pengecualian cukai pendapatan individu ke atas elaun penjagaan anak diperluas meliputi penjagaan warga emas iaitu ibu bapa, datuk dan nenek; serta
Kelima: Potongan cukai tambahan bagi majikan yang membayar elaun penjagaan anak turut diperluas meliputi penjagaan warga emas iaitu ibu bapa, datuk dan nenek