
BANDAR BAHARU, 24 Februari – Pelepasan air dari ladang kelapa sawit ke Sungai Kerian dipercayai menjadi punca kematian ikan ternakan dalam sangkar di Sungai Kerian, Bandar Baharu, Kedah.
- Pelepasan air dari parit ladang kelapa sawit dipercayai memasuki Sungai Kerian, menyebabkan kematian ikan sangkar.
- Air dilepaskan kemungkinan bercampur sisa baja dan racun, dan ujian JAS mendapati ia bersifat asidik.
- Kes diserahkan kepada agensi berkaitan; orang ramai diminta lapor pencemaran melalui talian atau eaduan dalam talian.
Perkara itu dikenal pasti hasil siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah susulan aduan diterima pada 21 Februari lalu berhubung kejadian tersebut.
Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, siasatan yang dijalankan dari 21 Februari hingga semalam mendapati terdapat beberapa punca pelepasan air dari ladang kelapa sawit yang memasuki Sungai Samagagah, Perak sebelum mengalir ke Sungai Kerian dan seterusnya ke negeri Kedah.
Beliau berkata, air berkenaan dilepaskan dari parit takungan air larian di kawasan ladang kelapa sawit yang berkemungkinan bercampur dengan sisa baja dan sisa racun.
Menurutnya, apabila takungan air mencapai paras tertentu, air tersebut akan dipam secara manual ke Sungai Kerian.
Ujian kualiti air yang dijalankan JAS Kedah di lokasi pelepasan mendapati air berkenaan bersifat asidik.
Katanya, hasil siasatan telah dipanjangkan kepada agensi berkaitan yang mengawal selia aspek air, perikanan dan perladangan di negeri terlibat untuk tindakan lanjut.
Beliau turut menjelaskan isu pelepasan air dari parit takungan ladang pertanian ke sungai perlu diberi perhatian secara kolektif bagi memastikan ekosistem sungai tidak terjejas.
JAS Kedah turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat serta melaporkan sebarang aktiviti pencemaran alam sekitar menerusi talian bebas tol 1-800-88-2727 atau secara dalam talian melalui laman web eaduan.doe.gov.my.