JITRA, 10 Mac – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengesahkan berlaku pencemaran di anak sungai Kampung Charok Jambu, Mukim Malau, di sini.
Pencemaran tersebut dipercayai berpunca daripada pelepasan air kolam memancing ikan yang terletak berdekatan.
Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata pihaknya menerima aduan daripada komuniti kelompok dusun durian Kampung Bayas dan Kampung Charok Jambu berhubung pencemaran berkenaan.
"Bertindak atas aduan, pasukan JAS Kedah telah menjalankan siasatan dan pemantauan di lokasi kejadian pada 6 Mac lalu," katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan memandangkan punca pencemaran bukan daripada premis yang dikawal oleh JAS, aduan tersebut telah dipanjangkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Perikanan, dan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, selain digunakan untuk mandi, air dari anak sungai tersebut turut dimanfaatkan oleh penduduk sekitar bagi menyiram pokok buah-buahan dan kawasan pertanian.