fb fb fb fb fb

Pelepasan air di empangan Chenderoh terkawal

Empangan Chenderoh- Foto TNB

IPOH, 15 Oktober- Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan pelepasan air dari Empangan Chenderoh di Kuala Kangsar dilakukan secara terkawal dan terancang.

TNB dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya mengambil maklum mengenai mesej yang sedang tular mengenai pelepasan air dari Empangan Chenderoh dan kenaikan paras air Sungai Perak.

"Untuk makluman, pelepasan air terkawal di Empangan Chenderoh perlu dilakukan bagi mengimbangi kadar kemasukan dan pelepasan air ekoran kenaikan paras air berikutan hujan berterusan di kawasan tadahan yang luas.

"TNB bekerjasama erat dengan pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan bagi memastikan proses pelepasan air secara terkawal dan terancang dapat dilakukan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) demi keselamatan orang ramai," kata kenyataan itu.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak lengkap yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang awam.

Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, boleh hubungi TNB dengan mesej peribadi di Facebook TNB CareLine atau mesej terus ke laman X di akaun @Tenaga_Nasional.

Trainee