KULAI, 22 November-Kerja-kerja pelebaran lorong di Lebuhraya Utara-Selatan Laluan Sedenak-Kulai Johor, yang bermula Jun 2025, dijangka tidak akan menjejaskan aliran trafik, menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri akan datang.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pelebaran lorong itu dibuat untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan lorong tambahan fasa satu pakej A, yang dijadualkan siap pada Jun 2027.
Pembinaan lorong tambahan bagi pakej B pula, akan melibatkan laluan dari Kulai ke Senai Utara, dan dijangka siap tahun 2028.
"Sekarang ini setiap lorong 3.65 meter boleh 110 kilometer sejam. Selepas ini 90 kilometer sejam, setiap lorong dari 3.65 meter kepada 3.5 meter.
"Masih ada lagi dua lorong. Oleh hal demikian, had laju dikurangkan, jadi sepanjang tempoh itu kawasan ini akan menjadi sesak sedikit.
"Walaubagaimanapun ini adalah untuk tujuan yang baik pada masa akan datang", katanya demikian selepas membuat lawatan kerja di lokasi Projek pelebaran lorong Lebuhraya Utara-Selatan, laluan Sedenak di sini.
Projek pembinaan lorong tambahan bagi fasa dua pula, akan melibatkan laluan dari Sedenak ke Simpang Renggam, dan dijadualkan bermula pada suku kedua tahun hadapan.
Terdahulu, sebanyak RM525 juta diperuntukkan bagi fasa satu projek tersebut, melibatkan jarak 22 kilometer, manakala RM506 juta pula diperuntukkan untuk fasa dua, dengan jarak 17 kilometer.