KANGAR, 14 Disember- Bersempena cuti penggal persekolahan, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis (PPANPs) mengambil inisiatif melaksanakan Program Syoknya Ke Perpustakaan.
Program yang berlangsung mulai hari ini sehingga 30 Disember ini melibatkan lebih 20 aktiviti menarik dengan sasaran penyertaan lebih 7,000 pelajar sekolah seluruh Perlis.
Menurut Pengarah PPANPs, Azizi Janan, program yang dilaksanakan ini sebagai usaha berterusan pihaknya menggalakkan orang ramai khususnya dikalangan kanak-kanak dan remaja ke perpustakaan.
Sepanjang 17 hari program, pelbagai aktiviti akan dilaksanakan termasuklah Pertandingan Bakat Cilik Se-Perlis, Mewarna Kanak-Kanak, Pakaian Beragam, Pertandingan Chef Cilik, Permainan Interaktif dan Pameran Kesihatan.
"Program syoknya ke perpustakaan ini kita sebenarnya hendak melibatkan penglibatan antara ibu bapa dan juga kanak-kanak. jadi kalau kita untuk menjadikan minat membaca dikalangan masyarakat ini sebenarnya dia kena bermula daripada awal lagi.
"Penglibatan kalau kita hanya mensasarkan atau pun mengharapkan pihak perbadanan perpustakaan sendiri yang melakukan tugas ini rasanya agak sukar," katanya pada Program Syoknya Ke Perpustakaan di Perpustakaan Awam Negeri Perlis.
Sejak Januari lalu sehingga kini, PPANPs merekodkan lebih 100,000 pengunjung yang menggunakan pelbagai perkhidmatan yang disediakan PPANPs.
Antara program menarik yang dilaksanakan PPANPs sepanjang tahun ini termasuklah Program Karung Ilmu, Program Literasi Maklumat, Pameran Fotografi, Pesta Buku dan Kuiz Dalam Talian.