Pelarian Rohingya wajar diberi akses pendidikan

Ketiadaan akses kepada pendidikan boleh menyebabkan pelarian terlibat dengan pelbagai masalah sosial. Foto/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Februari – Pelarian Rohingya di Malaysia wajar diberi pendidikan serta kebenaran bekerja secara sah, bagi menyumbang kepada pembangunan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelarian Rohingya wajar diberi pendidikan dan latihan untuk mencegah masalah sosial dan membina masa depan yang produktif.
  • Membenarkan pelarian bekerja secara sah membolehkan mereka menyumbang kepada ekonomi serta memenuhi keperluan tenaga kerja sektor perladangan dan pembuatan.
  • Kementerian Dalam Negeri, Sumber Manusia dan Pendidikan perlu bekerjasama membuka akses pendidikan dan pekerjaan bagi lebih 214,000 pelarian.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, ahli Parlimen mempunyai keupayaan membentuk undang-undang dan dasar bagi memanfaatkan kehadiran pelarian di Malaysia, sekali gus mewujudkan situasi menang-menang buat kedua belah pihak.

“Terdapat ratusan kanak-kanak yang berkeliaran sedangkan mereka sepatutnya berada di sekolah. Keadaan ini akan menyumbang kepada pelbagai masalah sosial yang lebih kritikal lagi.

“Apa yang perlu dilakukan ialah beri pendidikan dan latihan kepada mereka. Saya percaya mereka mempunyai keinginan yang kuat untuk bekerja dan mampu menjadi pekerja yang baik di Malaysia.

“Kementerian Dalam Negeri perlu mempertimbangkan potensi pelarian Rohingya ini dalam mengatasi isu keperluan tenaga kerja dalam pelbagai sektor seperti perladangan dan pembuatan,” katanya pada Simposium Parlimen mengenai Akses Pendidikan dan Pekerjaan Sah bagi Pelarian di ibu negara, hari ini.

Menurut Tan Sri Johari, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pendidikan juga perlu membuka ruang perbincangan bagi memberi akses yang sepatutnya kepada lebih 214,000 pelarian Rohingya di Malaysia.