fb fb fb fb fb

Pelarasan tarif air tidak akan bebankan pengguna di Kelantan

Foto BERNAMA

TANAH MERAH, 18 Januari- Pelarasan tarif air yang berkuat kuasa pada 1 Februari nanti tidak akan membebankan pengguna di  Kelantan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata sebelum kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu dilaksana, kajian berkenaan telah dilakukan.

Beliau berkata, kadar yang dinaikkan itu disifatkan tidak membebankan pengguna kerana kenaikannya tidak ketara.

Katanya, kenaikan tarif itu telah dilaksanakan mengikut kesesuaian dan negeri Kelantan sendiri sudah lama tidak menaikan tarif air.

"Dia begini kajian telah pun dibuat maknanya bil itu tidak membebankan, kenaikan pun kenaikan yang tidak membebankan sebab tarif air ini kita lama doh tak naik jadi kita tengok kesesuaianlah. Kita selaras seluruh negara, bukan kita saja," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Rumah Banglo kepada Johan Tilawah Peringkat Antarabangsa 2023 di Wadi Imam Ekslusif di sini.

Menurut rekod, semakan pelarasan tarif bagi perkhidmatan air di Kelantan kali terakhir dibuat pada 2013.

Jumlah akaun pengguna di Kelantan ialah 276,171 dengan 238,235 daripadanya adalah akaun domestik manakala selebihnya akaun komersial.

Sementara di Selangor, kerajaan negeri itu akan mengambil beberapa langkah bagi membantu pemegang akaun Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berdepan tarif air baharu mulai 1 Februari depan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata langkah-langkah itu akan diumumkan dalam masa terdekat bagi mengurangkan beban kira-kira 49 peratus pengguna yang terkesan akibat kenaikan tersebut.

"Ada beberapa langkah yang kita akan perkenalkan untuk mengurangkan beban dan juga mengelakkan ada setengah-setengah kumpulan terbeban daripada kenaikan tersebut. Macam Skim Air Darul Ehsan (SADE)? Ya. Saya Akan maklumkan nanti beberapa langkah termasuk bagaimana kita memastikan SADE dapat diteruskan. Yang pastinya kita cuba terbaik, negeri menggunakan apa simpanan yang kita ada untuk mengurangkan kesan tersebut, tetapi bagi mereka yang berkemampuan, bagi kita wajar untuk mereka membayar harga tertentu untuk air yang mereka guna, kata Amirudin selepas program graduasi Sekolah Digital Selangor di Shah Alam.

Mengenai kenaikan bil air yang akan dialami pengguna di Selangor setiap bulan, Amirudin menjangkakan antara RM1 hingga RM6 dengan bergantung kepada penggunaan air.

Semalam, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan kenaikan purata 22 sen setiap meter padu bagi pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut SPAN, pelarasan berkenaan tidak boleh ditangguh bagi memastikan kemampanan industri perkhidmatan bekalan air dalam jangka panjang dan kualiti perkhidmatan kepada orang ramai.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM