Pelarasan kuota Budi95 disifatkan masih munasabah

FOTO FAIL / BERNAMA

IPOH, 29 Mac – Pengguna subsidi petrol Budi95 di Perak menyifatkan pelarasan kuota daripada 300 kepada 200 liter sebulan sebagai langkah yang masih munasabah dan dalam kawalan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelarasan kuota membantu memastikan subsidi lebih bersasar dan mengurangkan ketirisan penggunaan bahan api.
  • Kebanyakan pengguna difahamkan tidak terjejas kerana penggunaan bulanan biasa rendah.
  • Lebihan subsidi boleh disalurkan kepada keperluan negara sekali gus rakyat menyokong usaha kerajaan mengekalkan bekalan dan harga stabil.

Bagi kebanyakan pengguna, pelarasan itu dilihat mampu memastikan subsidi lebih bersasar selain mengelakkan ketirisan dalam penggunaan bahan api.

Rata-rata pengguna turut memahami rasional keputusan berkenaan, malah berpendapat kuota 200 liter mencukupi bagi kegunaan harian majoriti rakyat.

Pengguna, Abd Razak Mohd Ali

Seorang pengguna, Abd Razak Mohd Ali berkata, langkah itu diyakini dapat mengekang penyalahgunaan subsidi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya faham apa yang kerajaan lakukan dengan menurunkan kadar daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan. Penggunaan saya sendiri pun tidak sampai 200 liter. Mungkin ada yang ambil kesempatan untuk jual lebihan, jadi tujuan kerajaan adalah untuk elakkan ketirisan,” katanya.

Ashraf Kahasani

Sementara itu, Ashraf Kahasani berpendapat kira-kira 90 peratus pengguna tidak menggunakan lebih daripada 200 liter sebulan, justeru pengurangan kuota itu tidak memberi kesan besar kepada rakyat.

“Saya kira rakyat Malaysia faham dan kuota yang diberikan mencukupi sehingga pembekalan minyak stabil. Setakat ini, usaha kerajaan mengekalkan harga juga sangat baik,” katanya.

Mohd Zulsyamimi Sufian

Bagi Mohd Zulsyamimi Sufian pula, pelarasan tersebut dilihat positif kerana lebihan subsidi dapat disalurkan kepada keperluan lain.

“Pelarasan ini bagus sebab tidak semua orang guna penuh. Lebihan daripada kuota itu boleh disalurkan untuk keperluan lain negara,” katanya.