fb fb fb fb fb

Pelarasan kadar tarif air baharu di Perak, keputusan diketahui awal Mac - MB

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad

IPOH, 1 Februari - Keputusan berhubung pelarasan kadar tarif air baharu bagi pengguna domestik di Perak, hanya akan diketahui awal Mac depan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata perbincangan mengenainya akan dilakukan bersama Lembaga Air Perak (LAP) dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah, bulan depan.

Beliau berkata, hasil perbincangan tersebut kemudiannya akan dibawa ke Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri sebelum keputusan akhir dimuktamadkan.

"Kita tidak boleh umum begitu, dia kena dibuat dalam lembaga dahulu dan lembaga kena dengar taklimat daripada pengurusan tentang rasional kenaikan.

"Dia kena ada rasional tertentu dan hendak lihat dari segi perniagaan sama ada ia menguntungkan ataupun ia merugikan, sama ada ia membeban kepada pengguna atau tidak kita akan bahas dalam lembaga, bila kita bersetuju kita akan bawa dalam Exco lepas itu baru kita umum," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Kursus Pemantapan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Tambah Saarani, beliau turut menjangkakan akan berlaku kenaikan kadar tarif air di negeri itu namun memberi jaminan ianya tidak akan membebankan pengguna.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN