Pelantikan Malek Razak sebagai PAT baharu perkukuh wibawa ATM

Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman

KOTA TINGGI, 31 Januari- Pelantikan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) baharu diyakini memperkukuh wibawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelantikan Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak sebagai PAT baharu diyakini memperkukuh wibawa ATM.
  • Bekerjasama dengan MINDEF untuk memastikan tadbir urus baik, kesiapsiagaan dan keupayaan ATM dalam operasi pertahanan negara.
  • Tumpuan utama adalah memulihkan imej serta reputasi ATM dalam suasana mencabar.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Datuk Malek Razak bersama MINDEF akan memastikan tadbir urus yang baik serta kesiapsiagaan dan keupayaan ATM dalam menjalankan operasi dan mempertahankan negara.

“Saya percaya beliau dilantik dalam suasana yang mencabar bagi ATM dan tumpuan utama beliau adalah bekerjasama dengan kementerian untuk memulihkan imej serta reputasi ATM,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Program Kampung Angkat MADANI-MINDEF di Pantai Teluk Mahkota, Tanjung Sedili di sini hari ini.

Pelantikan berkenaan dibuat selaras dengan syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri ke-633 (Khas) yang bersidang pada 29 Januari lepas dan seterusnya telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 30 Januari.

Datuk Malek Razak memulakan perkhidmatan pada 1985 sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military College, Sandhurst, United Kingdom dan ditauliahkan pada 11 Disember 1987 dengan pangkat Leftenan Muda.

Jawatan terakhir beliau sebelum pelantikan berkenaan ialah Panglima Medan Barat Tentera Darat.