KUALA LUMPUR, 25 Mac- Semua pihak perlu menerima dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan dalam isu pelantikan badan kehakiman bagi mengelakkan kekeliruan serta ketegangan dalam masyarakat.
Bekas Penasihat Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Dr. Haidar Dziyauddin menegaskan bahawa tuduhan wujudnya pemilihan berat sebelah atau campur tangan kerajaan dalam pelantikan hakim adalah tidak berasas.
"Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan mekanisme semak dan imbang yang berkesan dalam proses pemilihan dan pelantikan jawatan kehakiman," katanya.
Beliau mengingatkan bahawa dakwaan tanpa bukti boleh mencetuskan kegusaran masyarakat serta menjejaskan reputasi negara di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, pelantikan hakim dilakukan mengikut Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan, yang melibatkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK), Perdana Menteri, Majlis Raja-Raja dan perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
"Setiap individu yang dilantik telah melalui proses yang teliti dan sudah pasti memiliki kelayakan sewajarnya.
Tidak mungkin YDPA akan melantik seseorang yang tidak mempunyai kelayakkan untuk jawatan tertinggi dalam badan kehakiman negara," tambahnya.
Beliau menyarankan semua pihak supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan agar tidak mencetuskan krisis kehakiman yang boleh menjejaskan keyakinan terhadap institusi perundangan negara.
"Oleh itu, isu pelantikan ini tidak wajar disensasikan oleh pihak-pihak tertentu dan isu ini bukan kali pertama berlaku berikutan sebelum ini krisis kehakiman pernah mencemar imej dan reputasi negara," jelasnya.