Pelantikan Ashwad Ismail suntik momentum baharu RTM

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berjabat tangan bersama Ketua Pengarah Penyiaran baharu, Ashwad Ismail (kiri) di Media City Angkasapuri hari ini/Foto Facebook Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 23 Februari – Pelantikan Ashwad Ismail, 41, sebagai Ketua Pengarah Penyiaran yang baharu diyakini mampu memperkasa dan memacu transformasi Jabatan Penyiaran Malaysia secara lebih tersusun serta berimpak tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelantikan Ashwad Ismail dijangka memperkasa dan memacu transformasi Jabatan Penyiaran Malaysia dengan pendekatan lebih tersusun.
  • Usaha penyelarasan kandungan, format dan aktiviti penyiaran akan diteruskan dan digerakkan secara lebih dinamik di bawah kepimpinannya.
  • Perubahan landskap media dan tekanan peralihan pengiklanan ke platform sosial menuntut strategi relevan tanpa menjejaskan etika kewartawanan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata inisiatif yang telah dimulakan oleh bekas Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman, akan diteruskan di bawah kepimpinan Ashwad.

“Saya percaya dengan pelantikan saudara Ashwad, usaha menyelaras kandungan, format serta aktiviti jabatan penyiaran kepada khalayak umum dapat digerakkan dengan lebih dinamik dan berkesan,” katanya ketika ditemui media di Bazar Ramadan Jalan Telawi, Bangsar, hari ini.

Beliau berkata industri media kini berdepan tekanan ketara susulan peralihan perbelanjaan pengiklanan ke platform media sosial yang turut memberi kesan kepada Jabatan Penyiaran Malaysia.

Menurutnya, perubahan landskap audiens khususnya dalam kalangan generasi muda menuntut pendekatan strategik agar penyampaian berita dan maklumat kekal relevan tanpa menjejaskan etika kewartawanan.

Beliau turut menyifatkan Ashwad antara Ketua Penyiaran paling muda berpotensi membawa suntikan tenaga baharu serta memperkukuh pasukan dalam menghadapi cabaran industri media yang semakin kompetitif.