KUALA LUMPUR, 1 Oktober- Malaysia menyasarkan untuk melengkapkan Pelan Tindakan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam tempoh 12 bulan akan datang, juga menjadikan Malaysia sebagai hab penjanaan AI, di rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu merupakan satu daripada dapatan utama berkaitan teknologi yang disasarkan, selain berharap ia mampu dicapai lebih awal.
“Apabila saya kata 12 bulan, ia cadangan menteri. Bagi saya tiada sebab untuk tunggu 12 bulan. Sepatutnya enam bulan boleh siap,” katanya ketika berucap pada Majlis Mantap Malaysia Bersama AI, A Google For Malaysia Event, di sini, hari ini.
Tambahnya, usaha mempercepat penerapan AI akan dipergiat, khususnya dalam sektor-sektor utama negara.
"Malaysia boleh mencapai sasaran untuk menjadi peneraju AI di rantau Asia menerusi kerjasama dengan pemain industri, pengukuhan kolaborasi dengan seluruh pemegang taruh."
"Malaysia mampu merealisasikan hasrat ini dan memainkan peranannya sebagai negara yang dipacu AI di rantau ASEAN," tambahnya.
Turut hadir, Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.