KUALA LUMPUR, 26 Jun- Pelan Tindakan Strategi Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) 2024-2026 dirangka untuk memperkukuh dan meningkatkan penerimaan Skim Pensijilan MSPO di pasaran global.
Ketika ini, pelan tindakan berkenaan dalam proses pelaksanaan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin memaklumkan sehingga kini 15 inisiatif strategik telah dilaksana bagi mengukuhkan jenama MSPO.
Ia termasuk penjenamaan semula MSPO daripada Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), penambahbaikan sistem kebolehjejakan MSPO dan program capaian MSPO yang lebih meluas.
"Pelan Tindakan ini menyasarkan pelaksanaan inisiatif strategik sepanjang tempoh tiga tahun (2024 sehingga 2026) merentasi tiga strategi utama iaitu, membina skim pensijilan kemampanan yang teguh dan boleh dipercayai.
"... memastikan pematuhan pemain industri dan menambah nilai kepada skim pensijilan MSPO dan memperluas pengiktirafan dan penerimaan MSPO", katanya semasa menjawab soalan dibangkitkan wakil Pasir Salak, Jamaludin Yahya dalam sesi Dewan Rakyat.
Dalam masa sama, kementerian bersama agensi yang terlibat sedang melaksanakan pelbagai usaha bagi mempertingkat pengeluaran minyak sawit mentah negara termasuk penanaman semula sawit tua dan tidak produktif.