fb fb fb fb fb

Pelan induk komprehensif sempadan darat dan laut dirangka, kawal negara dari diceroboh

KUALA LUMPUR, 27 Mac - Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri melaksanakan pelan induk komprehensif bagi mengawal sempadan negara daripada dicerobohi.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pelan menyeluruh membabitkan kawalan sempadan darat dan laut, termasuk pencegahan di laluan tikus, akan dibentangkan kepada Kabinet.

(Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin)

"Apa sahaja plan yang kita laksanakan nanti adalah sesuatu yang boleh membantu bukan hanya di Sabah tetapi bagaimana pula dengan sempadan Kalimantan dan Sarawak.Bagaimana dengan sempadan antara Thailand dan negeri di Semenanjung. Bagaimana pula di selat melaka dan lorong-lorong tikus yang masuk melalui Batam.

"Semua ini kita kena adakan pelan induk yang komprehensif dan kita bergabung diantara kementerian pertahanan dan kementerian dalam negeri. Dengan kerjasama yang kita tunjukkan kami akan dapat satu penyelesaian terbaik untuk masa hadapan negara," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media bersama Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selepas meninjau persiapan pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Perkhidmatan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Hishammuddin berkata perkara yang dirancang antara kedua-dua kementerian itu akan dilapor kepada Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

(Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein)

“Ia juga melibatkan semua agensi perisikan, panglima angkatan tentera dan ketua polis negara dan ada perkara yang tidak boleh kita umum tetapi percayalah gandingan dan gabungan yang dilakukan ini akhirnya akan diputuskan hala tujunya oleh pihak yang tertinggi dalam negara kita,” katanya.

Media Baharu