fb fb fb fb fb

Pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir dilanjutkan tiga hari

Jalan yang terlibat akan ditutup selama 54 jam bermula 6 petang setiap Jumaat hingga 12 tengah malam Ahad/ BERNAMA

MELAKA, 22 Disember- Kerajaan Negeri Melaka melanjutkan tempoh penutupan jalan bersempena dengan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir, kepada tiga hari bermula hari ini, berbanding setiap Sabtu sebelum ini. 

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata jalan yang terlibat akan ditutup selama 54 jam bermula 6 petang setiap Jumaat hingga 12 tengah malam Ahad. 

Katanya, laluan terlibat ialah Jalan Istana, Jalan Mahkamah, Jalan Gereja menuju ke Lorong Gereja dan Jalan Laksamana.
 
Turut ditutup sebahagian Jalan Tun Khalil Yaakob, Jalan Parameswara, Jalan Kota dan Jalan Istana.
 
"Ini adalah satu tempoh percubaan seperti yang kita lakukan dahulu untuk kita lihat bagaimana respon daripada pihak masyarakat, juga bagaimana untuk kita kaji tambah baik. Setelah kita lihat bagaimana kita lakukan pada hari Sabtu, jadi kali ini kita mahu lihat kerajaan negeri membuat keputusan untuk Jumaat, Sabtu dan Ahad pula," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Sempena Sambutan Hari MPHTJ Ke-14 di sini hari ini.

Ujar Rais, pengunjung boleh menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam Bus On Demand Kumpool Kasturi yang disediakan sebagai alternatif membawa pengunjung ke kawasan Zon Bebas Kenderaan.
 
Sebelum ini, penutupan jalan hanya pada hari Sabtu bermula pukul 6 petang hingga 12 tengah malam melalui Program Santai @Banda Hilir.

Dalam pada itu, Rais yakin semua pihak termasuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan sedaya upaya memastikan lanjutan penutupan jalan ini memberi manfaat kepada rakyat. 

"Saya tekankan sekali lagi bahawa usaha ini bukan untuk menzalimi mana-mana pihak, tetapi ia hanya untuk manfaat masyarakat bagi jangka masa panjang. 

"Langkah ini juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk memastikan bandar Melaka sebagai bandar rendah karbon," katanya. 

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI