fb fb fb fb fb

Pelaksanaan tahanan di rumah, ditentukan selepas proses penelitian - Saifuddin

Foto BERNAMA

IPOH, 4 Mac- Pelaksanaan Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) menerusi tahanan di rumah hanya akan ditentukan selepas proses penelitian dibuat.

Proses itu termasuk mengenal pasti sama ada terdapat keperluan untuk menggubal peruntukan undang-undang atau akta sedia ada.

Kerajaan sebelum ini secara prinsip setuju untuk memulakan program itu dalam usaha mengurangkan kesesakan di penjara.

"Untuk kita melaksanakan, kita perlu semak undang-undang, akta dan peraturan. Apakah perlu kita buat akta baharu misalnya?"

"Semua itu, kita akan semak akta sedia ada, apa kita perlu buat seksyen berkaitan atau kita tengok balik peraturan penjara 2000," kata Saifuddin sebagai mengulas sama ada pelaksanaan kaedah tahanan itu akan membabitkan banduan sedia ada atau banduan bagi kemasukan selepas program itu dilaksanakan.

Penghuni penjara yang akan terlibat terdiri daripada individu yang berpenyakit kronik, warga emas, Orang Kurang Upaya dan ibu mengandung.

Ketika ini, kira-kira 80,000 banduan ditempatkan di 43 penjara seluruh negara dengan kadar nisbah 244 banduan bagi 100,000 penduduk.

Ia melebihi kadar nisbah piawaian antarabangsa iaitu 145 banduan bagi 100,000 penduduk.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM