fb fb fb fb fb

Pelaksanaan sijil pematuhan cukai secara rintis diperluas

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 Oktober- Kementerian Kewangan (MOF) dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memperluas pelaksanaan Sijil Pematuhan Cukai (TCC) secara rintis terhadap perolehan kerja dan perkhidmatan perunding (fizikal) bermula 1 Okt 2024 hingga 31 Mac 2025.

Menerusi kenyataan hari ini, LHDN memaklumkan ia melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Menurut LHDN, TCC akan menjadi satu daripada dokumen yang diwajibkan pada peringkat tawaran perolehan serta memenuhi obligasi dan patuh kepada undang-undang percukaian negara.

Agensi pentadbir cukai itu memberitahu garis panduan operasi pelaksanaan TCC secara rintis untuk permohonan perolehan kerajaan bagi perolehan kerja dan perkhidmatan perunding (fizikal) telah dimuat naik untuk rujukan dan panduan kepada pembayar cukai serta pembida.

Dokumen itu boleh didapati melalui pautan https://www.hasil.gov.my/media/gxaa10qq/20240930-garis-panduan-operasi-tcc-secara-rintis-perolehan-kerja.pdf manakala sebarang pertanyaan lanjut perlu disalurkan menerusi e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Menurut LDHN, langkah perluasan itu susulan impak positif pelaksanaan pengemukaan TCC bagi perolehan bekalan dan perkhidmatan yang telah dikuatkuasakan bermula 1 Feb lepas.

Untuk rekod, menerusi Belanjawan 2022 kerajaan telah bercadang untuk memberikan layanan cukai secara sama rata sebagai antara langkah kemampanan hasil selaras dengan amalan pada peringkat antarabangsa.

Satu daripada usaha yang dilaksanakan ialah menerusi TCC yang dikeluarkan oleh LHDN. TCC telah dijadikan sebahagian daripada dokumen prasyarat bagi pembayar cukai atau pembida untuk memohon perolehan kerajaan bermula 2023.-- BERNAMA

Trainee2