fb fb fb fb fb

Pelaksanaan rangkaian 5G, pelantikan Ahli Lembaga Pengarah DNB diumum esok

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 24 April- Pelaksanaan rangkaian 5G, antara tumpuan utama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Selaras dengan itu, beberapa perkembangan penting berkaitan Digital Nasional Bhd (DNB) termasuk pelantikan Ahli Lembaga Pengarah dan hala tuju agensi berkenaan akan diumum esok.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata perkara tersebut akan diumumkan Menteri Digital Gobind Singh Deo di Pulau Pinang, esok.

"Dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, Perdana Menteri telah memberi penegasan tentang pelaksanaan rangkaian 5G.

"Antara yang telah dipersetujui ialah, insya-Allah esok Menteri Digital, Yang Berhormat Gobind Singh Deo akan berada di Pulau Pinang untuk satu acara bersama Digital Nasional Berhad.

"Dan beliau akan membuat beberapa pengumuman berkenaan pelantikan Ahli Lembaga Pengarah dan beberapa hala tuju DNB esok", katanya dalam sidang media di sini.

Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga katanya akan memeterai perjanjian persefahaman dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam masa terdekat untuk mempercepat pelaksanaan penerima gunaan rangkaian 5G.

Ia khusus kepada sektor industri dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

"Perdana Menteri telah memberi penegasan bahawa manfaat daripada 5G, selain daripada untuk rakyat biasa yang setakat 17 April telah mencecah lebih 35 peratus daripada keseluruhan jumlah pengguna telco.

"Jadi 35 peratus daripada keseluruhan pengguna telah memanfaatkan atau telah menempah pakej 5G", kata Fahmi.

Mengulas berkenaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB), Fahmi Fadzil berkata isu ekonomi dan masa depan penduduk tempatan menjadi tumpuan kerajaan sepanjang tempoh berkempen.

"Untuk Kerajaan Perpaduan, kita telah mengenal pasti sejumlah perkara yang telah dibangkitkan oleh warga pengundi di Kuala Kubu Baharu serta apa dijanjikan mendiang Adun KKB dan inilah yang akan jadi keutamaan, fokus maklum balas yang kami terima, fokus bagi para di Kuala Kubu Baharu berkait isu sosioekonomi masa depan terutama bagi rakyat tempatan", katanya.

ROSLINA BINTI DIN