KUALA LUMPUR, 25 Mei - Pelaksanaan projek Grid Tenaga ASEAN dilihat mampu memperkukuh jalinan kerjasama dan memberi manfaat antara negara blok berkenaan dengan Malaysia dalam meneroka sumber tenaga yang boleh diperbaharui.
Jelas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, setiap negara mempunyai peluang dan sumber tersendiri namun dalam masa sama tetap berdepan dengan beberapa kekurangan.
"Mengambil contoh sekarang ini kita sudah pun ada ikatan dengan Laos, Malaysia, Thailand dan Singapura. Laos sebenarnya menjualkan tenaga kepada Singapura tetapi dia perlu melalui Malaysia. Jadi dia kena bayar caj pengangkutan melalui grid kita".
"Tapi adakalanya Laos pada musim sejuk, airnya beku jadi bekalan hidro tidak berfungsi jadi pada masa itu tiada bekalan tenaga dari Laos ke Singapura, dia akan ambil daripada Thailand dan Malaysia untuk bekalkan kepada Singapura, katanya selepas menghadiri Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN 2025 di Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Malaysia bersetuju dengan cadangan Laos supaya fasa kedua projek Grid Tenaga ASEAN disegerakan bagi memberi manfaat kepada negara anggota blok berkenaan.
Cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone itu, katanya akan dibincangkan pada sesi pemukiman pemimpin ASEAN.
Tambah Datuk Seri Fadillah, sekiranya sumber tenaga di negara ini tidak mencukupi atau terputus bekalan disebabkan insiden tertentu, pendekatan yang sama boleh digunakan.
"Ambil insiden yang berlaku di Putra Height bila paip gas kita meletup jadi kita terpaksa tutup saluran gas supaya tidak menjejaskan lagi kawasan itu, bila tertutup maknanya aliran gas kita nak sampai ke utara dari selatan tidak dapat. Jadi kita terpaksa berunding dengan Thailand dan Thailand bantu kita bekalkan gas ke Utara sebab supaya perniagaan di utara tidak terjejas",
"Jadi inilah yang dapat kita saling bantu membantu antara satu sama lain, ini salah satu perkongsian kemakmuran hanya kalau kita dapat berkongsi, saling bantu membantu sama lain supaya negara ASEAN itu menjadi lebih kukuh dan kompetitif,"katanya.