fb fb fb fb fb

Pelaksanaan gaji minimum: tiada pengecualian terhadap majikan

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad / Foto BERNAMA

GUA MUSANG, 9 November-Tiada kelonggaran mahupun pengecualian diberikan kepada majikan di seluruh negara dalam pelaksanaan gaji minimum kepada pekerja di seluruh negara bermula Februari tahun hadapan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, akta gaji minimum sudah ditetapkan dan kerajaan tidak akan berkompromi dengan majikan yang memberi alasan tidak mampu.

"Gaji minimum ini kita akan kuat kuasa pada bulan Februari 2025. Buat masa ini kalau ada yang membuat laporan, kita tak boleh ambil sebarang tindakan sebab kuat kuasa pada Februari 2025.

"Tiada kelonggaran sebab kita dah di bawah akta", katanya demikian selepas merasmikan Karnival Kerjaya MyFutureJobs PERKESO Oghe Kelate 2024 di Dewan Datuk Ariffin Said, Ibu Pejabat Kesedar Gua Musang di sini.

Sementara itu, Abdul Rahman turut berkata, Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pekerja-pekerja ekonomi gig akan dibentangkan buat kali pertama di Parlimen pada Disember ini.

Terdahulu, majikan di beberapa negeri tidak bersedia melaksanakan gaji minimum RM1,700 kerana pertumbuhan ekonomi dan ekosistem perniagaan yang belum kukuh untuk menampung kenaikan sebanyak RM200.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD