KUALA LUMPUR, 1 Mei- Pelaksanaan gaji minimum yang berkuat kuasa hari ini telah memberi dimensi baharu kepada sistem pekerjaan negara.
Ia sekaligus membuktikan aspek kebajikan terus menjadi keutamaan kerajaan demi kelangsungan hidup rakyat seiring dengan perdedaran semasa.
Sebelum pengumuman gaji minimum, kerajaan telah mengambil langkah dalam menyediakan bantuan yang memberi kesan positif kepada golongan pekerja sama ada secara langsung atau tidak langsung seperti aspek keluarga, pembelian rumah, pendidikan dan perlindungan.
Antaranya; Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), bantuan Awal Persekolahan (BAP), Program Baucar Perlindungan Tenang, MySalam, Inisiatif i-Saraan RM250 Setahun dan Skim Jaminan Kredit Perumahan.
Kementerian Sumber Manusia juga melaksanakan beberapa program di bawah Bajet 2022 menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi membantu pekerja iaitu SIP Subsidi Upah Bersasar; SIP Elaun Mencari Pekerjaan+; SPS Padanan Caruman; SPS Khidmat, Program JaminKerja – Insentif Penggajian dan SIP Gig.
Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat berharap pelaksanaan gaji minimum ini mampu untuk membawa perubahan hidup yang lebih selesa dengan adanya sistem gaji yang lebih baik.
"Pada masa ini, kita dapat lihat pendapatan kita ini belum cukup selesa. Belum cukup selesa untuk kita beli rumah, untuk kita menyediakan makan minum, untuk kita menyediakan pengangkutan, menyediakan kesihatan, pembelajaran anak-anak. Jadi, keseluruhan pakej yang saya sebutkan ini, menjadi harapan pekerja dengan pendapatan melalui sistem gaji yang ada ini mampu untuk menyediakan pakej tersebut. Pada masa sama, perbelanjaan juga hendaklah adil," katanya.
(Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat)
Selain bantuan dan insiatif, kerjasama pihak majikan juga sangat diperlukan dalam memastikan kebajikan pekerja terjaga terutamanya yang terkesan akibat COVID-19.
Majikan mempunyai tanggungjawab dalam mewujudkan hubungan yang baik dengan pekerja supaya budaya kerja yang produktif dapat dilaksanakan.
Itu pandangan salah seorang majikan, Datuk Suresh Rao.
"Kalau kita kira pun, untuk hidup biasa pun, kita perlukan duit yang cukup. Bagi itu, saya rasa dah ok, dan bagi pekerja saya semua 'happy' mereka dengar berita itu, saya sebagai majikan, kata untuk naikkan gaji buat mereka. Lepas itu pekerja bukan sahaja dapat RM1500, kalau rajin, komited akan dapat lebih daripada itu," kata Suresh.
(Majikan, Datuk Suresh Rao)
'Pekerja Tonggak Keluarga Malaysia Dalam Pemulihan Negara' amat bertepatan di angkat tema sempena Hari Pekerja yang sinomin dengan usaha kerajaan melahirkan semula golongan pekerja yang produktif dalam membina semula negara.
Pekerja yang produktif juga memerlukan persekitaran yang membina serta majikan yang prihatin.
Apa yang kita dapat lihat ketika ini, kerajaan terus membantu golongan pekerja ini daripada aspek keselamatan, kebajikan dan juga perlindungan bagi memastikan kelangsungan hidup golongan pekerja sebagai membantu membangunkan negara.
Selamat Hari Pekerja tahun 2022.