
PELABUHAN KLANG, 9 Februari – Peruntukan undang-undang sedia ada dianggap mencukupi bagi menangani isu penyeludupan di sempadan termasuk berkaitan sisa elektronik atau e-waste.
- Peruntukan undang-undang sedia ada mencukupi, fokus kini kepada peningkatan pelaksanaan dan penguatkuasaan.
- Penggunaan Akta Kastam 1967 dan prosedur jenayah dicadangkan untuk operasi pengesanan dan tindakan berkesan.
- MATF dan task force dipengerusikan untuk memformulasikan cadangan terperinci mengenai e-waste dan rasuah.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, bagaimanapun kaedah pelaksanaannya perlu diperhalusi dan diperkemas bagi memastikan keberkesanan penguatkuasaan.
“Ada beberapa aspek perundangan dibincangkan dalam melaksanakan akta AKPS, kita boleh gunakan Akta Kastam 1967 dan Prosedur Tatacara Jenayah untuk mengenalpasti serta menjalankan operasi yang berkesan.
“Kita juga boleh guna banyak sumber-sumber perundangan yang ada dalam undang-undang, yang penting kenalpasti isu kemudian amalkan tatacara bertepatan dengan aspek pengoperasian dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja di Tapak Gudang CF4, Pelabuhan Barat di sini, hari ini.
Terdahulu, lawatan berkenaan adalah sebahagian daripada perancangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memperkukuh kawalan sempadan negara, khususnya dalam membanteras pengimportan dan penyeludupan e-waste haram ke Malaysia.
Tan Sri Mohd Dusuki berkata, Pasukan Khas Pelbagai Agensi (MATF) juga akan memperincikan cadangan berkaitan isu penyeludupan sisa e-waste dan rasuah dalam masa terdekat yang akan dipengerusikannya.
“Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengetuai satu task force untuk menangani isu-isu e-waste yang mana saya sendiri mempengerusikannya.
“Kita akan perincikan sebarang cadangan yang dibawa ke MATF dan ia akan diadakan dalam masa terdekat, mungkin dalam seminggu ini,” katanya.#