Pelaksanaan BDR perlu seimbang dengan sistem giliran – Pakar

Foto fail BERNAMA

GEORGE TOWN, 29 Mac – Pelaksanaan mekanisme Bekerja Dari Rumah (BDR) perlu dirangka secara teliti bagi mengekalkan produktiviti kerja tanpa menjejaskan kebajikan pekerja.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sistem giliran kerja disyorkan bagi memastikan keseimbangan antara tuntutan kerja dan kos ditanggung pekerja.
  • Pelaksanaan bergilir, sebahagian ke pejabat dan sebahagian BDR, boleh mengekalkan produktiviti sambil mengurangkan beban kos.
  • Minggu kerja empat hari dicadangkan untuk kurangkan kos petrol serta perbelanjaan harian seperti makanan dan elektrik.
  • Kerajaan perlu menilai implikasi BDR terhadap kos sara hidup dan merangka peraturan kerja lebih anjal untuk penjawat awam.

Pengarah Pusat Perancangan Institusi dan Strategik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Saidatulakmal Mohd berkata pendekatan itu wajar disokong dengan sistem giliran kerja bagi memastikan keseimbangan antara tuntutan kerja dan kos yang ditanggung pekerja.

“Pelaksanaan secara bergilir, iaitu sebahagian pekerja ke pejabat dan sebahagian bekerja dari rumah, boleh memastikan keseimbangan antara kos persendirian dan produktiviti kerja.

“Langkah seperti minggu kerja empat hari juga boleh dipertimbangkan bagi mengurangkan kos seperti petrol serta perbelanjaan harian lain termasuk makanan dan elektrik,” katanya ketika ditemui RTM di sini hari ini.

Saidatulakmal menegaskan keperluan kerajaan menilai implikasi BDR terhadap kos sara hidup pekerja, termasuk peningkatan bil utiliti dan perbelanjaan harian di rumah.

Pada Khamis lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang memperincikan pelaksanaan peraturan kerja lebih anjal bagi penjawat awam yang BDR bagi mengurangkan kesan gangguan bekalan minyak dunia.

Sementara itu, Kerajaan Negeri sedang meneliti pelaksanaan BDR bagi susulan cabaran kenaikan harga bahan api, khususnya diesel berikutan krisis di Asia Barat.