fb fb fb fb fb

Pelajar UUM disaran kuasai empat bahasa, tingkat daya saing global

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul / Foto RTM

SINTOK, 13 April – Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) disarankan untuk menguasai sekurang-kurangnya empat bahasa sebagai asas penting bagi meningkatkan kebolehpasaran dalam pasaran kerja global yang semakin mencabar.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata pelajar perlu bijak memanfaatkan peluang yang ada sepanjang tempoh pengajian di universiti untuk mendalami pelbagai bahasa sebagai persediaan menghadapi dunia pekerjaan.

“Cuba kuasai Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, Mandarin sebagai bahasa perdagangan, dan Bahasa Arab sebagai satu contoh tambahan.

“Dengan menguasai banyak bahasa, kamu tidak akan pernah rugi. Semua majikan akan mencari pelajar UUM. Saya percaya otak manusia tiada had, jadi universiti perlu mewajibkan pelajar mempelajari empat bahasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Outreach “Bicara Kepimpinan: Memupuk Kepimpinan Masa Hadapan” di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen UUM, di sini.

Beliau turut menggesa pelajar agar memanfaatkan tempoh empat tahun di universiti untuk membina kemahiran lain seperti komunikasi, jaringan global dan nilai integriti yang kukuh, selain pencapaian akademik semata-mata.

“Kepimpinan bermula dengan keberanian untuk keluar dari zon selesa. Kuasai bahasa, perluas jaringan, dan jadilah pemimpin yang relevan dalam era digital,” katanya.

Tambah Johari, pendedahan luar seperti lawatan ke universiti-universiti di dalam dan luar negara mampu membuka pandangan pelajar terhadap dunia dan tidak hanya terikat kepada sistem semata-mata.

“Gunakan peluang untuk melihat dunia. Jangan terlalu bergantung kepada apa yang ada di sekeliling sahaja,” tegas beliau.

Beliau turut menyentuh soal akses pendidikan yang kini lebih terbuka menerusi kemajuan teknologi maklumat, membolehkan pelajar di bandar mahupun luar bandar menikmati peluang pendidikan yang setara.

“Tiada alasan untuk tidak menuntut ilmu kerana kebanyakan tempat kini mempunyai akses internet. Yang penting adalah bagaimana kita memanfaatkan kemudahan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pelajar yang berminat dalam bidang politik supaya melengkapkan diri dengan pakej yang menyeluruh, termasuk pencapaian akademik dan penampilan diri yang baik.

“Anda bukan sahaja akan ditanya oleh manusia, tetapi juga oleh Tuhan mengenai apa yang telah anda lakukan ketika mempunyai kuasa. Jadilah wakil rakyat yang bijak,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN