
KUALA LUMPUR, 11 Januari – Seorang lelaki dilaporkan lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika cuba menyelamatkan rakannya di Air Terjun Kedondong, Batang Kali, petang tadi.
- Mangsa ialah pelajar UPSI berusia lingkungan 20-an yang dilaporkan lemas semasa cuba membantu rakan.
- JBPM Selangor menerima panggilan kecemasan dan BBP Kuala Kubu Bharu dikerahkan ke lokasi.
- Anggota menemui mangsa kira-kira 10 meter dari lokasi kejadian sebelum mangsa disahkan meninggal dunia.
- Operasi melibatkan enam anggota dan sebuah jentera FRT dikawal selia oleh BBP Kuala Kubu Bharu.
Mangsa merupakan seorang lelaki India berusia lingkungan 20-an dan dikenal pasti sebagai pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.46 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurut Komander Operasi, PBK I Hasrul Said Abdul Khatab, jentera bomba tiba di lokasi pada pukul 5.07 petang selepas menempuh jarak kira-kira 30 kilometer.
“Berdasarkan maklumat saksi, mangsa dipercayai cuba membantu rakan yang berada dalam kesukaran sebelum dihanyutkan arus air yang deras.
“Anggota operasi berjaya menemui mangsa pada jarak kira-kira 10 meter dari lokasi kejadian,” katanya.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi melibatkan enam anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dikawal selia sepenuhnya oleh BBP Kuala Kubu Bharu.