fb fb fb fb fb

Pelajar UPM pupuk gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk

Pelajar Tahun Akhir Bacelor Sains Dietetik dengan kepujian bergambar bersama sekretariat rukun tetangga Taman Sri Serdang.

SERDANG, 15 Mei– Perubahan corak kehidupan dengan kemajuan teknologi dan tekanan persekitaran yang semakin kompleks kini menyebabkan kesedaran tentang gaya hidup sihat semakin berkurangan.

Untuk itu, pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil inisiatif mendekati 150 orang komuniti Taman Sri Serdang, dalam meningkatkan kesedaran dan amalan gaya hidup sihat.

Menerusi program Komuniti SULAM: Niaga 3S: Sihat, Sedap dan Selamat! dan 'Healthy Eating and Active Living' (HEAL), ia bukan hanya memberi pemahaman, namun memberikan sokongan praktikal melalui saringan kesihatan, intervensi pemakanan yang sesuai, dan promosi gaya hidup aktif.

Pengarah program, Mohammad Haziq Zikri Zainuri berkata kolaborasi antara institusi pendidikan tinggi dan komuniti tempatan dilihat membentuk persekitaran yang sihat dan lestari.

"Reruai yang dibuka memberi fokus kepada cara pengendalian makanan dengan selamat dan cadangan cara penyediaan makanan sihat kepada peniaga serta perkongsian makanan rendah garam dan lemak dan tinggi serat untuk golongan warga emas berpenyakit darah tinggi juga kolesterol.

"Semoga tindakan ini mendorong perubahan positif dalam kalangan masyarakat secara keseluruhan," katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, program itu berjaya memperoleh geran sebanyak RM5,000 yang ditaja Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPM melalui 'Knowledge Transfer Grant Scheme'.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM