fb fb fb fb fb

Pelajar Tingkatan Satu maut jatuh bangunan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 2 Oktober- Polis mengesahkan seorang pelajar Tingkatan Satu maut selepas terjatuh dari bangunan sebuah sekolah di Jalan Syed Putra semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Ku Mashariman Ku Mahmood berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam pukul 6.59 petang.

Mangsa berumur 13 tahun dipercayai jatuh dari tingkat lapan bangunan sekolah berkenaan dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa telah dirujuk ke Bahagian Forensik dan Patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat dan hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah di dalam kes ini", katanya dalam kenyataan.

"Kes kematian ini telah diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).

ACP Ku Mashariman turut menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kegusaran orang ramai dan menghentikan penularan kejadian ini di media sosial.

ROSLINA BINTI DIN