fb fb fb fb fb

Pelajar tingkatan dua maut digilis lori di Baling

FOTO PDRM

BALING, 14 November- Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai di sini, Kedah maut setelah digilis dengan sebuah lori.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mangsa, Muhammad Hazim Iskandar Mohd Hafiz, 14, baru pulang dari sekolah dalam kejadian di Simpang Tiga Jerai, Jalan Baru Kulim-Baling-Grik, kira-kira pukul 1.50 petang tadi.

Mangsa dipercayai cuai ketika keluar dari simpang di sebelah kiri jalan sebelum motosikalnya bergesel dengan bahagian belakang lori.

Susulan itu, mangsa terjatuh di atas jalan lalu digilis dengan tayar belakang lori terbabit.

Muhammad Hazim dari Kampung Carok Kangar, Kupang cedera parah di kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Pemandu lori dan penumpang masing-masing berusia 31 dan 27 tahun tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat menurut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.

SITI AISHAH BINTI MD ISA