KLUANG, 21 Mac- Pelajar sekolah yang terjejas akibat banjir dibenarkan hadir ke sekolah tanpa memakai pakaian seragam, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Menurutnya, kelonggaran itu diberikan bagi memastikan kehadiran pelajar ke sekolah tidak terjejas selain mengurangkan beban ibu bapa.
"Tidak ada masalah. Semasa tinjauan, saya melihat ada pelajar yang tidak memakai pakaian seragam kerana tidak sempat mengambilnya sebelum berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS). Mereka boleh terus hadir ke sekolah tanpa seragam selagi tidak mengganggu sesi pembelajaran.
"Yang penting, mereka hadir ke sekolah dengan berpakaian sopan," katanya.
Beliau ditemui pemberita semasa meninjau PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Kencana, Simpang Renggam di sini hari ini.
Sementara itu, sebanyak tujuh sekolah di Johor Bahru, Kota Tinggi dan Pasir Gudang ditutup hari ini selepas kawasan sekolah dinaiki air.
Selain itu, 47 sekolah dijadikan PPS bagi menempatkan penduduk terjejas banjir.