fb fb fb fb fb

Pelajar sekolah meninggal dunia setelah bertarung nyawa lima hari

Foto Hiasan

KUALA PILAH, 23 Oktober- Seorang pelajar lelaki 14 tahun menghembuskan nafas terakhir setelah lima hari bertarung nyawa akibat kemalangan membabitkan sebuah kereta semasa melintas jalan di KM 29 Jalan Seremban–Kuala Pilah berdekatan Taman Pemarak Tanjung Ipoh pada 18 Oktober lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Supt Amran Mohd Ghani berkata kemalangan itu berlaku apabila pemandu warga emas lelaki berumur 68 tahun sedang membawa kereta jenis Proton Saga FL dalam perjalanan dari Melang ke Seremban.

Beliau berkata sebaik tiba di tempat kejadian, kereta itu terlanggar mangsa yang sedang melintas dari bahu jalan sebelah kiri ke kanan jalan.

"Akibat kemalangan terbabit, mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala dan menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah sebelum disahkan meninggal dunia 11 pagi semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pemandu kereta yang terlibat juga telah tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Kuala Pilah pada hari yang sama kejadian berlaku untuk membuat laporan polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -BERNAMA

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI