fb fb fb fb fb

Pelajar perlu perkukuh elemen keagamaan dalam diri - Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kanan) menyantuni penduduk Chuping / Foto Istana Arau

PADANG BESAR, 2 November - Setiap pelajar wajar menerapkan serta menyemai nilai kepercayaan dan pegangan agama yang kukuh dalam diri.

Akhlak mulia dan sahsiah terpuji bukan sahaja mencorakkan keperibadian unggul, malah menjadi asas kecemerlangan pelajar di dunia dan di akhirat.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, golongan pelajar juga perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan nilai murni demi membentuk modal insan yang berkualiti serta jati diri yang unggul.

'' Usaha ini mampu melahirkan individu yang berwibawa, berjiwa kepimpinan, dan menghormati sesama insan,” titah baginda sempena Program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar kawasan Chuping.

Dalam program itu, baginda turut berkenan melawat ChupingVille Roomstay, destinasi penginapan baharu dengan reka bentuk yang menarik.

Dengan kombinasi keindahan semula jadi dan kemudahan moden, ChupingVille Roomstay menjanjikan pengalaman penginapan yang tenang serta sesuai untuk seisi keluarga, pasangan mahupun pelancong solo yang mencari ketenangan di Perlis.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin turut mengucapkan selamat berjaya kepada semua calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 akan menjalani Ujian Bertutur Bahasa Melayu bermula esok (3 November 2025) dan peperiksaan bertulis bermula 25 November sehingga 23 Disember 2025.

EMMI NORALIZA ADNAN